Mini Apps 2.0: Mod Skrin Penuh, Ikon Skrin Utama, Geolokasi dan 10 ciri lagi

Baca pengumuman rasmi dalam Bahasa Inggeris
Apl Mini 2.0: Mod Skrin Penuh, Ikon Skrin Utama, Geolokasi dan 10 ciri lagi

Hari ini kami melancarkan kemas kini terbesar dalam sejarah aplikasi mini. Mereka mendapat mod skrin penuh, pelan langganan, jalan pintas skrin utama, mengirim hadiah, berkongsi media, mencipta dokumen, akses ke geolokasi, penjejakan gerakan, menetapkan status emoji — dan lagi.

Mod Skrin Penuh

Aplikasi mini kini boleh menggunakan seluruh skrin dalam orientasi potret atau landskap — membolehkan aplikasi menampung lebih banyak genre permainan dengan gerak isyarat dan interfes yang diperluas.

Penjejakan Gerakan Peranti

Aplikasi mini boleh menerima maklumat tentang gerakan peranti anda untuk menambah kawalan unik kepada permainan atau membina pengalaman realiti maya (Virtual Reality) yang mengasyikkan.

Juruprogram boleh mengunci orientasi skrin untuk memastikan tiada putaran yang tidak perlu jika aplikasi mereka menggunakan pergerakan peranti untuk kawalan.

Jalan Pintas Skrin Utama

Anda kini boleh meletakkan jalan pintas terus ke mini aplikasi tertentu pada skrin utama peranti anda — mengakses permainan dan servis kegemaran anda dengan satu tekan.

Akses Geolokasi

Anda kini boleh berkongsi lokasi anda dengan aplikasi mini — yang memberikan juruprogram keupayaan untuk membuat permainan berasaskan lokasi dengan titik minat atau peta interaktif untuk acara.

Akses kepada data lokasi adalah dinyahdayakan secara paras asal — anda mesti secara khusus memberikan kebenaran lokasi kepada setiap aplikasi mini individu yang anda ingin berkongsi data.

Hadiah dari Aplikasi

Aplikasi kini boleh menggunakan star mereka untuk menghantar hadiah kepada anda sebagai ganjaran untuk meraikan pencapaian.

Kami juga telah menambah tetapan privasi baru yang membolehkan anda mengawal siapa yang boleh menghantar hadiah kepada anda yang akan muncul pada profil anda.

Status Emoji dari Aplikasi

Dengan kemas kini ini, pengguna Telegram Premium boleh menetapkan status emoji dari dalam aplikasi mini, menunjukkan kepada orang lain bahawa mereka sedang dalam permainan 🎮 atau dalam teksi 🚕.

Aplikasi mini boleh mengintegrasikan API dari servis lain — dengan serta-merta mengemas kini status emoji pengguna apabila mereka mula memainkan muzik 🎶, membuka buku 📚 atau menonton filem 🍿.

Aplikasi dengan permisi lokasi juga boleh digunakan untuk mengemas kini status anda apabila anda berada di tempat kerja 💼 atau di luar pejabat 🏖.

Juruprogram juga boleh mencipta pek emoji tersuai mereka sendiri untuk ditawarkan sebagai opsyen status, menambah kepada potensi viral aplikasi mini.

Perkongsian Media

Anda kini boleh berkongsi media secara langsung dari aplikasi mini — menghantar kod rujukan, meme tersuai dan banyak lagi ke mana-mana bual.

Aplikasi mini juga boleh mencipta media untuk anda pos ke stori anda.

Mencipta Dokumen

Aplikasi mini juga boleh menjana dokumen dan fail yang boleh anda muat turun — seperti gambar profil yang dijana AI atau fail audio.

Pelan Langganan

Juruprogram boleh menawarkan langganan kepada aplikasi mini mereka menggunakan Telegram Star — memperoleh pendapatan daripada usaha mereka dengan pelbagai peringkat konten dan ciri.

Telegram Star yang diperoleh daripada produk digital dan langganan boleh digunakan untuk meningkatkan had mesej untuk aplikasi atau menuntut ganjaran.

Juruprogram juga layak untuk mendapat ganjaran daripada Iklan Telegram dalam bot dan aplikasi mini.

Penyesuaian Skrin Memuat

Juruprogram boleh menyesuaikan skrin memuat aplikasi mini mereka di @BotFather — menambah ikon mereka sendiri dan warna tertentu yang akan dipaparkan sebelum aplikasi mula memuat.

Info Perkakasan Peranti

Untuk mengoptimumkan grafik dan meningkatkan prestasi, aplikasi mini boleh mengakses maklumat perkakasan asas tentang peranti anda, seperti kuasa pemprosesan dan kapasiti memori — kemudian menyesuaikan tetapan secara automatik untuk memberikan pengalaman yang paling lancar.

Dan Lagi

Juruprogram kini boleh ketahui bila aplikasi mini mereka dikecilkan dan dipulihkan dari bar aplikasi dan pastikan mereka laksanakan transisi dengan betul.

Jika anda seorang juruprogram, lihat halaman ini untuk dokumentasi terperinci dan senarai penuh pertukaran, termasuk cara mudah bagi aplikasi mini untuk akses gambar profil dan sokongan validasi pihak ketiga bagi data aplikasi mini.

Setiap orang sudah boleh mencuba implementasi awal sebahagian dari ciri baru dalam aplikasi seperti @playdeckbot, @tverse dan @major (permainan Major Maze pada tab Mainan).

Itu sahaja untuk kemas kini hari ini. Kami sudah pun mula mencipta perkara yang lebih besar untuk aplikasi mini dan seterusnya.


17 November 2024
Pasukan Telegram